Welcome to My

Blog

Wednesday, May 04, 2011

Kerjaya sebagai Jurutera


 Images, kredit to, click here.


Menjadi seorang jurutera

Soalan:
SAYA kagum dengan kerja-kerja yang dilakukan oleh jurutera. Bapa pula memberi sokongan kepada saya untuk menjadi seorang jurutera. Saya ingin tahu lebih lanjut bidang kejuruteraan dan apakah kelulusan yang perlu saya miliki untuk menjadi jurutera. 

Jawapan:

KERJAYA jurutera penting dan besar kepada kemajuan negara. Tanpa jurutera, siapakah yang akan merancang dan mereka bentuk projek-projek seperti pengairan, jalan raya, jambatan, perlombongan, jana kuasa dan kilang? 

Malah tugas mereka meliputi kajian dan pembangunan, pembinaan, penyenggaraan dan pengawalan, pengeluaran, perundingan, pengurusan serta latihan.


KEJURUTERAAN merupakan satu bidang yang sangat luas dan merangkumi berbagai skop ilmu. Dalam perkembangan sains dan teknologi terkini beberapa cabang baru dalam bidang kejuruteraan telah mula diperkenalkan seperti Kejuruteraan Genetik dan lain-lain.

Bidang ini sangat mencabar serta memerlukan seseorang yang tahan lasak serta mampu membuat kerja-kerja luar pejabat serta di dalam makmal. Antara bidang kejuruteraan yang sangat diminati dan sudah mantap dari segi kerjaya ialah kejuruteraan awam, elektrik, kimia, mekanik, aeronautikal, petroleum, CAD/CAM, telekomunikasi, bahan, pembuatan, alam sekitar, senibina, ukur (bahan), ukur (bangunan), ukur (pengurusan hartanah) dan sains kejuruteraan.

SIAPA JURUTERA?

Jurutera ialah individu yang terlatih dalam mereka, membuat dan menggunakan (menjaga) jentera atau terlatih dalam mana-mana cabang kejuruteraan seperti jurutera awam, elektrik dan kapal terbang. 

Mereka perlu menitikberatkan inovasi mengenai komposisi sesuatu produk dan struktur, mengubah idea-idea baru kepada realiti, menyelesaikan masalah-masalah kemahuan dan kehendak manusia, memperbaiki kaedah-kaedah sedia ada dan merintis kaedah baru dengan menekankan pengetahuan saintifik, kebolehan dan kepandaian yang kreatif.

Ciri-ciri peribadi yang diperlukan

1.    Meminati profesion ini
  1. Mempunyai pengetahuan di bidang sains, matematik dan bahasa
  2. Mempunyai kemahiran komputer
  1. Tekun dan bekerja keras
  2. Mempunyai keinginan untuk berjaya
  3. Seorang yang dinamik
  4. Dapat bekerja secara berkumpulan
Syarat menceburi bidang kejuruteraan

Calon harus memiliki ijazah mana-mana bidang kejuruteraan dari universiti tempatan atau luar negara. 

Lulusan kejuruteraan perlu menjadi ahli Institute of Engineers Malaysia sebelum boleh mendaftar dengan Board of Engineers Malaysia. 
 
Mereka memerlukan tiga tahun pengalaman pekerjaan yang diiktiraf di dalam bidang-bidang berkaitan sebelum layak ditemuduga bagi mendapat tauliah jurutera profesional.


Fakta dan nombor mengenai Jurutera Kimia:

  • Jurutera Kimia Ahlia Kimia
  • Negara memerlukan Jurutera Kimia sebanyak 29 000 pada tahun 2010
  • Sehingga tahun 2000, hanya ada sekitar 2900 Jurutera Kimia sahaja di Malaysia
  • Hanya ada 10 buah universiti yang menawarkan kejuruteraan kimia, salah satunya ialah Universiti Teknologi Petronas (UTP)
  • Dianggarkan dalam tahun 2007, hanya ada sekitar 6000 hingga 7000 Jurutera Kimia di Malaysia
  • Hanya 25% sasaran keperluan negara kepada Jurutera Kimia sahaja yang telah dicapai.
Sumber: National Economic Action Council (NEAC), The STAR. via Syazwan



 KURSUS KEJURUTERAAN DI IPT

Boleh dikatakan semua institusi pengajian tinggi tempatan menawarkan kursus kejuruteraan. Mengikut perangkaan menjelang tahun 2020 Malaysia memerlukan lebih ramai jurutera bagi menampung keperluan negara yang sedang menuju ke arah sebuah negara maju.

Bahkan, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menubuhkan Kolej Matrikulasi aliran teknikal bagi melahirkan lebih ramai jurutera profesional di negara kita. Artikel di blog Dunia Cikgu Kaunseling yang mungkin ingin dilihat , Aliran Teknikal Kolej Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia.

KOLEJ MATRIKULASI ALIRAN TEKNIKAL 

Kolej Matrilukasi Aliran Teknikal di Malaysia setakat ini ada di 3 buah negeri. Salah satunya di Bandar Pusat Jengka iaitu  Kolej Matrikulasi Teknikal Pahang. Website rasmi Kolej Matrikulasi Teknikal Pahang, klik sini. Alangkah bertuahnya anak negeri Pahang kerana mempunyai 2 buah Kolej Matrikulasi KPM, sebuah lagi. di Gambang.

Baiklah kita ikuti artikel tentang Pelaksanaan Program Matrikulasi Aliran Teknikal, oleh Saidatul Azwa Binti Mohd Hashim.

Program Matrikulasi Aliran Teknikal mula dilaksanakan pada sesi    2009/2010 di tiga sekolah menengah teknik yang telah beroperasi sepenuhnya sebagai kolej matrikulasi bermula Mei 2009. Kolej-kolej tersebut telah dinamakan Kolej Matrikulasi Teknikal Johor, Kolej Matrikulasi Teknikal Pahang dan Kolej Matrikulasi Teknikal Kedah.

Usaha melaksanakan Program Matrikulasi aliran teknikal adalah berdasarkan cadangan Mesyuarat Jawatankuasa Akademik Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha. Ini adalah selaras dengan usaha BPTV untuk menjenamakan dan seterusnya memperkasakan pendidikan teknik dan vokasional.

Program ini bukan sahaja meluaskan lagi peluang pilihan pelajar bumiputera untuk ke bidang kejuruteraan/teknikal tetapi juga memberi peluang kepada pelajar lepasan sekolah menengah teknik untuk disalurkan ke aliran teknikal dan seterusnya memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam dalam jurusan kejuruteraan/teknikal selepas lulus Program Matrikulasi.

Kurikulum Program Matrikulasi aliran teknikal merupakan kesinambungan antara kurikulum teknikal berkaitan di sekolah dan kurikulum jurusan kejuruteraan tahun pertama peringkat ijazah pertama di IPTA. Mata pelajaran Pengajian Kejuruteraan Awam, Pengajian Kejuruteraan Mekanikal dan Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di peringkat sekolah teknik dilanjutkan sebagai mata pelajaran yang sepadan, iaitu Pengajian Kejuruteraan Awam, Pengajian Kejuruteraan Mekanikal dan Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di peringkat matrikulasi. 

Mata pelajaran Fizik dan Kimia di peringkat sekolah pula digabungkan dan dilanjutkan sebagai mata pelajaran Sains Kejuruteraan. Pelajar aliran teknikal juga akan mengikuti mata pelajaran wajib dan kokurikulum seperti yang ditawarkan kepada pelajar jurusan sains dan perakaunan.

Pelaksanaan Program Matrikulasi jurusan teknikal akan memberi masa depan yang cerah dalam merangka pembaharuan dan perluasan Program Matrikulasi selaras dengan keperluan untuk memartabatkan Program Matrikulasi bagi menghasilkan seramai mungkin produk bumiputera yang berkualiti dan mampu memenuhi keperluan dan kepentingan masa depan bangsa dan negara dalam bidang kejuruteraan/teknikal.

UNIVERSITI

Mata pelajaran yang pelajar perlu di beri tumpuan untuk mengikuti kursus ini di universiti adalah semua mata pelajaran sains dan matematik.

Bidang kejuruteraan semakin hari semakin mencabar dan justeru itu ia memerlukan kepakaran yang tinggi untuk mengaplikasikan teknologi kejuruteraan yang canggih serta menjimatkan masa, tenaga dan kos. 

Bidang-bidang baru dalam kejuruteraan pada masa kini ialah kejuruteraan genetik dan teknologi maklumat. Ia merupakan cabang baru dalam dunia sains yang memerlukan kepakaran pada masa kini.

Di antara pengkhususan itu ialah kejuruteraan awam, elektrik, elektronik dan sistem, kimia, proses, sumber asli, mekanikal, bahan, komputer, kaji terbang, pembuatan, telekomunikasi dan pertanian.

Tempat melanjutkan pengajian

Universiti yang menawarkan kursus di peringkat ijazah sarjana muda ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaya (UM), UKM, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (UTHM), UTM, UPM, UiTM dan Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia turut  menawarkan kursus di peringkat diploma.

Universiti-universiti luar negara seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Kanada, New Zealand dan Singapura turut menawarkan kursus ini.

Perkembangan semasa di Malaysia mendorong permintaan yang tinggi terhadap profesion ini.
Setiap hari, pasti ada syarikat mengiklankan jawatan kosong sebagai jurutera di akhbar-akhbar tempatan. 

Walaupun kerjaya ini mencabar, ia mampu memberi kepuasan kepada mereka. Tambahan pula gaji dan imbuhannya lumayan sekali gus mampu menarik minat pelajar untuk menceburi kerjaya ini.


0 comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .