Welcome to My

Blog

Monday, June 18, 2012

Jerebu Di Malaysia Jom Jaga Alam Kita


Jerebu, Kabus atau Kabut?



Gambar Kredit Kepada Cikguhairul cikguhairul.com  dan Utusan Malaysia

Jerebu sering disalah anggap dengan kabus atau kabut. Pada awal pagi atau selepas turunnya hujan apabila suhu rendah dan kelembapan tinggi, kabus dan kadangkala kabut terbentuk di kawasan lembah dan tanah rendah. Ianya akan hilang perlahan-lahan setelah matahari naik.

 Kabus dan kabut terbentuk hasil daripada pemeluwapan wap air ke atas zarah terampai di atmosfera. Dalam kajicuaca, kabus wujud jika ketampakan menjadi kurang (tanpa cuaca lain) dan kelembapan bandingan atmosfera di permukaan bumi melebihi 95%. Bila ketampakan mengufuk mengurang di bawah 1000 meter, fenomena dikelaskan sebagai kabut.

Apakah Itu Jerebu?

Jerebu disebabkan oleh zarah terampai di dalam atmosfera. Pada kepekatan yang tingg, zarah ini terserak dan menyerap cahaya matahari menyebabkan ketampakan mengufuk mengurang serta menjadikan atmosfera kelihatan pendar baiduri.

Jerebu tidak hanya terbatas di kawasan bandar tetapi juga di luar bandar. Zarah yang menyebabkan fenomena jerebu berasal daripada pelbagai sumber yang terhasil secara semulajadi atau aktiviti manusia.

Pembakaran Terbuka
 

Zarah-zarah terhasil daripada aktiviti manusia seperti:
  • Pembakaran terbuka
  • Pembukaan tanah
  • Penggunaan kenderaan bermotor
  • Pembakaran bahan api industri
Jerebu di Malaysia
 
Di kawasan tropika , angin biasanya bertiup perlahan. Bagi tempoh tertentu terutamanya semasa monsun  barat daya, keadaan atmosfera sangat stabil dimana pergerakan udara mengufuk dan menegak berkurangan. Dalam keadaan ini, pembentukan awam adalah tidak aktif dan menyebabkan cuaca menjadi kering.
Faktor-faktor yang membantu pembentukan jerebu:
  • Tempoh cuaca kering yang panjang
  • Keadaan atmosfera yang stabil
  • Sumber pencemaran yang pelbagai

Zarah-zarah yang bebas di atmosfera akan terperangkap dalam jisim udara yang terapung dan meningkatkan kepekatannya yang menyebabkan keadaan atmosfera berjerebu.

 Di Semenanjung Malaysia, keadaan berjerebu biasanya berlaku dari bulan Januari ke Februari dan Jun ke Ogos. 

Sebaliknya, semasa Monsun Timur Laut, angin lengas timur laut bertiup kuat dari Laut China Selatan mempunyai kelembapan tinggi sering membawa hujan di daratan, oleh itujerebu jarang kelihatan.

Bagaimana Jerebu Menghilang?
Dalam keadaan atmosfera yang berubah-ubah, terdapat hari yang berjerebu dan cerah. Apakah yang menyebabkan perubahan ini? Bila keadaan berjerebu, zarah-zarah di atmosfera disingkirkan melalui beberapa proses iaitu:
  • Pemendapan – zarah yang lebih berat mendap ke bumi melalui pemendapan graviti.
  • Basuhan hujan (rainout) – pemeluwapan wap ke atas zarah membentuk titis air yang akhirnya menghasilakan awan.
  • Cucian (washout) – zarah disingkirkan melalui pelanggaran dan pencantuman dengan titisan hujan.
  • Pergolakan – zarah jerebu di paras atmosfera tinggi lebih senang terserak dan tersebar. Hujan lebat atau ribut petir yang menyeluruh dengan arus menaik dan menurun yang kuat boleh menyingkirkan jerebu dengan berkesan.
  • Tempoh hujan renyai yang singkat biasanya tidak berkesan dalam menghilangkan jerebu teruk.
 Adakah Jerebu Berbahaya?


Jerebu berasal daripada sumber semulajadi seperti garam laut dan tanah adalah tidak memudharatkan manusia. Jerebu nipis dan sementara yang wujud di kebanyakan bandar tidak memberi kesan serius pada kesihatan jangka panjang penduduk.

 Namun, episod jerebu yang teruk boleh membahayakan kesihatan. Kejadian terdahulu melaporkan peningkatan kejadian iritasi mata dan kerongkong serta kesukaran bernafas kepada mereka yang sensitif.

Kesan jerebu pada kesihatan

Partikel yang mempunyai bahan kimia iaitu penyebab jerebu boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan. Kesannya, pelbagai penyakit wujud terutama yang melibatkan penyakit salur pernafasan seperti asma dan konjunktivitis serta mengancam golongan yang berisiko dan mereka yang mengalami alahan kepada udara yang tidak sihat.

Oleh sebab jerebu berbahaya kepada kesihatan manusia, maka nasihat dan perlindungan daripada bahaya jerebu amat penting diikuti oleh masyarakat. 
Kandungan jerebu dan kesannya amat signifikan kepada masyarakat dalam jangkamasa pendek dan panjang bagi kehidupan yang sihat. Jerebu memberi kesan terhadap kesihatan seseorang terutama kepada golongan tertentu yang berisiko tinggi iaitu :

Kanak-kanak.
Orang tua.
Perokok.
Mereka yang sentiasa bekerja di luar rumah.

Golongan berpenyakit seperti :
Asma.
Bronkitis.
Radang paru-paru.
Penyakit paru-paru yang kronik.
Penyakit jantung.
Alahan.

Kesan-kesan yang akan di alami setelah terdedah secara berterusan kepada jerebu termasuklah :
  • Gatal-gatal di bahagian kerongkong dan batuk.
  • Sukar bernafas atau sesak nafas.
  • Mata pedih dan berair.
  • Hidung berair dan kerap bersin.
  • Kulit badan terasa gatal-gatal.
  • Sakit-sakit dada.
Justeru, langkah pencegahan perlu di ambil apabila terdapat tanda-tanda tersebut bagi mengelak diserang penyakit yang boleh membawa maut. 

Di antara langkah-langkah pencegahan tersebut ialah :
  • Mereka yang mengalami penyakit seperti batuk, selesema, asma, sakit mata, sakit jantung atau penyakit paru-paru yang kronik hendaklah datang ke klinik dengan segera jika keadaan penyakit bertambah buruk.
  • Mereka yang berisiko tinggi hendaklah sentiasa mengambil ubat seperti yang dinasihatkan.
  • Penutup hidung hendaklah digunakan oleh semua penunggang motosikal, mereka yang bekerja di luar bangunan atau di tempat-tempat yang berhabuk dan kumpulan berisiko tinggi
  • Tidak merokok di dalam rumah terutamanya mereka yang mempunyai anak kecil, ibu bapa tua dan sanak saudara yang berpenyakit.
  • Orang ramai dinasihatkan supaya tinggal di dalam bangunan atau rumah.
  • Kurangkan aktiviti sukan di luar rumah.
  • Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa membasuh muka dan bahagian kulit yang terdedah kepada jerebu dengan air bersih.
  • Gunakan alat penghawa dingin dalam kenderaan ketika sedang memandu.
  • Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa meminum air yang banyak.
  • Perokok dinasihatkan supaya tidak merokok apabila keadaan udara tidak sihat (iaitu IPU yang melebihi 100).
  • Mereka yang berisiko tinggi dinasihatkan mengambil cuti di luar kawasan yang berjerebu sekiranya keadaan jerebu berterusan pada tahap berbahaya di kawasan mereka. 


Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Malaysia  
IPU PENGKELASAN
0 - 5 Sihat
51 - 100 Sederhana
101 - 200 Tidak Sihat
201 - 300 Sangat Tidak Sihat
> 300 Berbahaya


 Ketebalan Jerebu dan Jarak Penglihatan 
KETEBALAN JARAK PENGLIHATAN MENDATAR
Tersangat Tebal < 500
Sangat Tebal 500 - 2000
Sederhana Tebal 2000 - 5000
Kurang Tebal 5000 - 10 000
Terang > 10 000


Langkah Mengurangkan Masalah Jerebu
  • Hindari daripada membakar bahan buangan secara terbuka. Kebanyakan kejadian jerebu setempat disebabkan oleh aktiviti ini
  • Peningkatan kenderaan bermotor di jalanraya. Untuk mengurangkan jerebu, kenderaan perlulah diselenggara dengan baik disamping memilih bahan api yang rendah bahan cemarnya
  • Pembukaan tanah secara meluas bukan sahaja menyebabkan hakisan dan penurunan gred tanah. Promosi ke arah penanaman semula pokok dan pengurangan pembukaan tanah boleh mengurangkan jerebu.
    Perlu diingat bahawa setiap individu mempunyai peranan untuk mengekalkan kualiti alam sekitar sebagai warisan generasi akan datang.
Bencana jerebu yang kerap melanda negara ketika musim panas kering mengakibatkan beberapa sektor tertentu seperti pengangkutan udara, darat dan air, pembinaan, pelancongan, perhutanan dan pertanian terjejas teruk. 

Kesan jerebu terhadap kesihatan orang ramai juga semakin buruk apabila jumlah pesakit yang mengalami gangguan kesihatan semakin meningkat. Justeru, setiap individu perlu sentiasa berwaspada dengan tahap kesihatan masing-masing dan mendapatkan rawatan doktor sekiranya perlu

0 comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .