Welcome to My

Blog

Thursday, August 30, 2012

Sejarah Pahlawan Dato' Bahaman di Pahang

Sejarah Pahlawan Dato' Bahaman di Pahang


Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan, Blog ini cuba memaparkan sejarah tokoh awal tanahair berdasarkan dari silibus Mata Pelajaran Sejarah. Misalnya, Dato’ Bahaman Pahlawan Pahang.

Kepada para pelajar yang bakal menduduki Peperiksaan PMR, Topik di Tingkatan 2 juga adalah salah satu topik yang perlu diambil berat.

Pada entry ini akan memaparkan nota ringkas berbentuk NOTA MINDA oleh
cikgukaunseling.com berdasarkan sub topik 7.7 dalam bab 7, Sejarah Tingkatan 2. (Bab 7.7 Dato’ Bahaman Pahlawan Pahang (Buku Teks m/s: 179-181)

Adalah dinasihatkan bahawa anda harus menyemak jawapan dengan merujuk kepada buku teks sebagai panduan.

Dalam Buku Teks Sejarah Tingkatan 2:

BAB 7 – PERJUANGAN RAKYAT TEMPATAN MENGEMBALIKAN KEDAULATAN BANGSA.

-British campur tangan di Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah telah menggugat sistem politik, ekonomi dan sosial penduduk tempatan

-perubahan dalam sistem pentadbiran menyebabkan sultan kehilangan kedaulatan dan pembesar hilang kuasa. Info lanjut sila
klik di sini.

Dalam muka surat 179 hingga 181 ada dicatatkan berkaitan Tokoh Pahlawan Pahang ini. 













Berikut adalah sebahagian petikan dari teks tersebut:

(i) Latar belakang
-nama sebenarnya Abdul Rahman bin Imam Noh
-dianugerahi gelaran Orang Kaya Dato’ Setia Perkasa Pahlawan
Semantan

-diberikan anugerah kerana kegagahan dan keberanian beliau dalam perang saudara di Pahang dan Perang Klang di Selangor

Untuk maklumat penuh dan dowload artikel, klik di sini 

Artikel di bawah pula adalah berdasarkan sumber di website dan blog, berdasarkan kepercayaan saya kepada penulis blog berkenaan. Tentang keabsahannya, penulis blog tidaklah mengetahui. Namun ia tetap dimuatnaik di sini sebagai pengetahuan am. 

Sebagai generasi pewaris pasca-merdeka, memang kita tidak pernah merasai keperitan hidup dalam penjajahan dan seksaan.  Sejarah mengajar kita erti kedewasaan, kematangan dalam bertindak, belajar dari kesilapan dan  mengisi erti nikmat kemerdekaan ini dengan sebaik-baiknya, jika kepada Muslim, untuk kebaikan dunia dan akhirat.

Sejarah tidak akan berulang. Tetapi retorik sejarah, sering berulang. Sejak dari pelbagai Tamadun Bangsa di dunia. Oleh itu, kita harus menghayati sejarah demi masa depan gemilang.

Usah kita sia-siakan pengorbanan para pahlawan yang rela berkorban apa sahaja. Mereka, datuk nenek moyang kita. Telah banyak darah yang tumpah, harta yang dilabur dan peluh yang lelas mereka, sejak zaman kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka pada 1511 dahulu. 

Al fatihah kita hadiahkan untuk Pahlawan Dato' Bahaman, Mat Kilau, Mat Lela, Tok Janggut, Tok Jelai, Tok Ku Paluh dan semua pahlawan Pahang  dan Malaysia yang beragama Islam, samada nama mereka tercatat dalam sejarah atau tidak.


Gambar Dato' Bahaman

Gambar di atas dipetik daripada blogger  akuanakpahang, di sini. Gambar ini dikatakan gambar Datuk Setia Jaya Semantan Tok Bahaman. Kesahihan gambar ini adakah wajah sebenar beliau tidak dapat dipastikan. Namun menurut sumbernya mengatakan gambar ini adalah wajah Dato' Bahaman. Wa'allahhualam.

BIODATA

Nama sebenar Dato' Bahaman adalah Abdul Rahman. Ayahnya bernama Tuanku Imam Nuh berasal dari Bangkinang. Ibunya adalah Rokiah Abdul Rahman, anak Tok Setia Perkasa Semantan yang berketururnan Bugis dari Sulawesi Selatan.

 Beliau juga lebih dikenali sebagai Seman adalah seorang yang pandai bersilat dan juga mempunyai ilmu kebal . Kelebihan yang dimilikinya ini menyebabkan beliau digelar sebagai 'Seman Tahan' oleh penduduk di sekitar kawasan itu.

 Nama 'Seman Tahan' semakin hari semakin masyur di kalangan penduduk di sepanjang sungai yang tidak bernama ketika itu sehinggakan sungai itu diberi nama Sungai Seman Tahan dan seterusnya menjadi tempat persinggahan British. Perang Semantan ini dipimpin oleh seseorang pembesar bernama Dato' Bahaman .

 Punca utama pemberontakan ini ialah rasa tidak puas hati orang-orang Besar Pahang , terutamanya sekali Dato' Bahaman (Orang Kaya Semantan) terhadap campur tangan British ke atas kawasannya . 


2.Anugerah

Dato’ Bahaman telah diangkat sebagai salah seorang Orang Besar Berlapan dan dianugerahkan dengan gelaran Dato’ Setia Perkasa Pahlawan Semantan kerana kerana beliau telah menunjukkan sikap serta kebolehannya sebagai panglima dalam perang saudara antara Sultan Ahmad dan adinda baginda Wan Mutahir serta memimpin pasukan Pahang untuk membantu Tengku Kudin dalam perang Saudara di Klang, Selangor. Selepas kematian Orang Kaya Indera Segara, Dato’ Bahaman telah dilantik oleh Sultan Ahmad sebagai Orang Kaya Temerloh. Dengan pangkat tersebut, kedudukan Dato’ Bahaman adalah sedarjat dengan Orang Besar Berempat dan seringkali diajak berunding oleh baginda Sultan Ahmad. 


SEJARAH PENENTANGAN

Dato' Bahaman memang memusuhi Inggeris kerana menyekat dan menuduh beliau (dalam tahun 1889) memungut cukai secara haram dan memberi amaran, . bahawa penerusan memungut cukai secara tradisi adalah terlarang, sedangkan itu adalah hak tradisi beliau sebagai pembesar di daerahnya.

Inggeris juga menuduh beliau (pada tahun 1890) menulis surat kepada Residen Selangor, W. E. Maxwell meminta supaya Semantan dipersatukan dengan Selangor

Ketegangan itu bermula pada bulan Disember 1890 bilamana Dato' Bahaman dikatakan telah marah dan mengata-ngata E.A Wise (Pegawai Jajahan Temerloh) kerana E.A Wise hendak mendirikan sebuah balai polis di Lubuk Terua iaitu satu tempat yang termasuk dalam kawasan Dato' Bahaman , tanpa terlebih dahulu berunding dengannya . 

Ketegangan itu memuncak pada tahun 1891. Walaupun beliau menyangkal tuduhan itu,  Sultan telah memerintahkan Orang Kaya itu mengadap baginda di Pekan.

Ini apabila Hugh Clifford ( Pemangku Residen British Pahang ketika itu ) mengetahui hal tersebut , beliau telah menasihatkan Sultan dan baginda kemudiannya memanggil Dato' Bahaman supaya pergi ke Pekan agar perkara itu dapat disiasat . 

Oleh kerana Dato' Bahaman enggan ke Pekan , Sultan telah mengeluarkan surat perintah yang melucutkan pangkat dan tarafnya sebagai Orang Kaya Semantan . 

Pada sesetengah laporan sejarah mengatakan, yang dipetik dari ,Tindakan melucutkan pangkat dan taraf itu menyakitkan hati Dato' Bahaman . Keadaan ini menyebabkan Dato' Bahaman dan pengikut-pengikutnya menyerang hendap C.E.M Deaborough dan pengikut-pengikutnya pada 15 Disember 1891 ketika mereka sedang mudik Sungai Semantan. 

Serangan itu dilakukan oleh Dato' Bahaman kerana ia menyangka Desborough datang untuk menangkapnya Dalam serangan yang mengejut itu , pihak Desborough telah kalah dan beliau melarikan diri ke Bandar Temerloh.

Berdasarkan sumber Sejarah yang lain pula melaporkan, sumber di sini.

Orang Kaya Semantan itu enggan menghadap  Sultan Ialu menghilangkan diri di dalam hutan di tengah-tengah masyarakat orang-orang asli yang memang bersahabat baik dengan beliau, tetapi keluar apabila mengetahui orang-orangnya ditangkap oleh pasukan Desborough, menyerang pasukan itu dan membebaskan orang-orangnya.
 

Setelah mengetahui peristiwa di Semantan itu , pegawai-pegawai British di seluruuh Pahang mula sibuk mengatur tentera mereka untuk melawan orang-orang Melayu yang menentang British .

Berikutan daripada itu pada 24hb Disember, 1891, setengah pendapat mengatakan  pada 21 Disember 1891, Tengku Mahmud (Tengku Besar) bersama-sama dengan 200 orang pengikutnya, dan Hugh Clifford bersama-sama dengan 60 orang Sikh di bawah pimpinan Kapten Summer telah mengaturkan gerakan untuk menyerang dan menangkap Dato' Bahaman dan orang-orangnya.

 Bagaimanapun gerakan ini menemui kegagalan setibanya di Kelubi kerana keengganan pasukan Melayu bekerjasama dengan pasukan polis Sikh.
 
Ekoran dari itu , pada 21 Disember 1891 , satu pasukan yang diketuai oleh Clifford dan Tengku Mahmud telah pergi ke Kampung Kelubi yang merupakan kubu kedua pertahanan Dato' Bahaman . Di sini berlaku sekali lagi pertempuran antara pihak British dengan Dato' Bahaman tetapi pihak British sekali lagi mengalami kekalahan .  

Buruan British

Pada Januari 1892, pihak Inggeris telah memaksa Sultan Wan Ahmad untuk menamatkan kebangkitan Dato’ Bahaman di Pahang. Satu pasukan yang dinamakan “Gerakan Sultan” telah dilancarkan pada 22 Januari 1892 dengan kekuatan 800 orang.

 Seramai 140 daripadanya mempunyai senjat api yang dipimpin oleh Tengku Ali, Rodger (Residen Pahang), Panglima Garang Yusof, Saiyid Ali Badoh dan Abdullah dari Bera. Gerakan ini juga menemui kegagalan kerana selain daripada hanya dapat memusnahkan 11 buah kubu kecil termasuk Kubu Batu Ampar, jejak Dato’ Bahaman tidak dapat dikesan dan tidak ada tanda-tanda yang memungkinkan Orang Kaya Semantan itu dan pengikut-pengikutnya yang terdekat akan tertangkap. Pada awal bulan Februari, 1892, keadaan tegang dianggap telah berakhir. Untuk sementara waktu, daerah Semantan telah diletakkan dibawah jagaan Abdullah Bera.

Pada Mac 1892, pasukan Dato’ Bahaman berjaya menawan semula Lubuk Terua. Perjuangan Dato’ Bahaman menjadi lebih hebat kerana dibantu oleh Tok Gajah. Pihak Inggeris kalah dan Abdullah Bera terpaksa pulang ke Bera. Kubu Lubuk Terua dikawal oleh orang-orang dari Cempaka dan Buluh. Ternyata mereka bersimpati dengan gerakan penentangan Dato’ Bahaman terhadap Inggeris.


Pada Mei 1982, Inggeris telah menyerang Lubuk Terua lagi. Pejuang Pahang terpaksa berundur ke Kelantan dan Terengganu. 

Dato' Bahaman dan pengikut-pengikutnya terpaksa mengundurkan diri sebagai satu strategi untuk melanjutkan penentangannya. Penentangan beliau itu ternyata telah merebak ke seluruh Pahang dengan melibatkan banyak lagi tokoh yang seperjuangan dengan beliau seperti  Mat Kilau, Panglima Muda Jempul, Tok Gajah, Tok Jelai, Mat Kelubi dan lain-lain. 

Di Terengganu, Ulama Tok Ku Paluh telah menyemarakkan semangat pejuang Pahang untuk berjihad menentang Inggeris. 

Pada 14 Jun 1894, Kuala Tembeling dan Jeram Ampai berjaya ditawan oleh Dato’ Bahaman bersama 100 orang pengikutnya.

Pada 29 Jun 1894 sepasukan tentera kerajaan Inggeris yang diketuai oleh Jeneral Walker menyerang kumpulan penentang Inggeris yang diketuai oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan Mat Kelubi di Jeram Ampai, Kuala Tembeling, Pahang. Dalam serangan itu Pemangku Penguasa Ulu Pahang bernama Wise, terbunuh bersama empat anggota polis. Serangan tersebut menyebabkan Mat Kilau berundur ke Kelantan. Ini menandakan berakhirnya perang menentang Inggeris di Pahang.


Sir Hugh Clifford, Residen Bristish di Pahang melancarkan serangan secara besar-besaran yang menelan belanja yang banyak, memburu mereka hingga ke Terengganu dan Kelantan.


Gerakan itu dihentikan pada bulan November 1895 apabila Datuk Bahaman, Pawang Nong dan Mat Lela dikatakan menyerah diri kepada kerajaan Siam tetapi diberi tempoh perlindungan dan ditempatkan di Chiengmai pada awal 1896, manakala Tok Gajah dan Mat Kilau diberitakan meninggal di Terengganu.


Kebangkitan Dato’ Bahaman selama 4 tahun (1891-1894) telah menyebabkan pihak Inggeris menanggung hutang yang banyak. Sultan Ahmad dipaksa membayar sebanyak 7200.00 dollar setahun bagi menyelesaikan hutang tersebut.
Persetian Sumpah

Memandangkan keadaan tidak selamat, Dato’ Bahaman dan pengikutnya telah mengambil keputusan pergi ke Siam. Sebelum itu satu persetiaan telah dilakukan di Kg. Bukit Haji Pak Jedih, Tanah Merah, dimana para pejuang bersumpah akan menggunakan nama lain dan tidak akan mendedahkan siapa diri mereka sebenarnya. 

Seramai 7 orang terlibat dalam sumpah persetiaan itu, iaitu Dato’ Bahaman (Panglima Kakap), Mat Kilau (Mat Siam, Mat Dahan, Mat Dadu, Mohamed Ibrahim), Mat Lela (Kilat Senja, Gong Poh), Mamat Kelubi (Tok Janggut).

Pada tahun 1911, Dato’ Bahaman telah kembali ke Kelantan manakala Mat Lela pergi ke Indonesia, sementara 2 orang pejuang lagi telah meninggal dunia di Patani, Siam. 

Pada tahun 1920, Dato’ Bahaman balik ke Kuantan dan tinggal di Kg. Paya Lalang (Padang Lalang) dengan memakai nama Lebai Deraman.

Pada tahun 1926, Dato’ Bahaman berpindah ke Kg. Peramu dan dikenali sebagai Tok Guru Peramu. Mat Kilau pula dikatakan berpindah ke Kg Aur Rompin, Tanjung Medang, Kg. pasir Panjang, Kg. Batu Tering Pekan, Kg. Batu Lima Jalan Gambang. Mamat Kelubi dan Panglima Hitam tidak diketahui kisahnya. 

Dato’ Bahaman tinggal di Kg. Peramu sehingga kematiannya.

Al fatihah kita hadiahkan untuk Pahlawan Dato' Bahaman,
Mat Kilau, Mat Lela, Tok Janggut, Tok Jelai, Tok Ku Paluh dan semua pahlawan Pahang  dan Malaysia yang beragama Islam, samada nama mereka tercatat dalam sejarah atau tidak.
SUMBER;

0 comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .