Welcome to My

Blog

Wednesday, September 12, 2012

Laporan Awal Pelan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Dilancarkan PM

Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Dilancarkan PM


DATUK Seri Najib Razak bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat buku Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 selepas melancarkannya di Kuala Lumpur, semalam.

 

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (kiri) bersama Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tiga dari kiri) ketika majlis pelancaran Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam. 


Laluan Pendidikan di Malaysia



Gambar dan artikel kredit kepada Berita Harian, Utusan Malaysia dan Kosmo.

PM lancar Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia

 Sekilas Pandang:

  • Pelajar pintar selesaikan UPSR dalam lima tahun dan SPM empat tahun.
  • Peperiksaan dan pentaksiran kebangsaan beri fokus kemahiran berfikir aras tinggi. Contoh, 80 peratus soalan UPSR berbentuk pemikiran aras tinggi.
  • Sastera Inggeris diwajibkan di sekolah menengah. − Penjenamaan semula Tingkatan Enam - kelonggaran pemakaian pakaian seragam, Majlis Pelajar ditubuh.
  • Bahasa Malaysia standard di SK atau SJK mulai Tahun Empat pada 2014. Kelas peralihan mansuh 2017.
  • Insentif bagi guru besar/pengetua di luar bandar dan sekolah berprestasi rendah, antaranya elaun, laluan pantas kenaikan pangkat.
  • Guru cemerlang boleh dinaikkan pangkat daripada DG41 kepada DG54 lebih cepat berbanding purata ketika ini 25 tahun.
  • Guru yang mencatat prestasi rendah selepas bimbingan, akan diberi tugas lain seperti pentadbiran, pegawai tatatertib atau pengurusan kokurikulum.

Untuk muat turun

1) Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 - Dalam Bahasa Malaysia, klik di sini

2) Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 - Ringkasan Eksekutif - Bahasa Malaysia, klik di sini.

3) Malaysia Education Blueprint 2013-2025 - English, klik di sini.

4) Malaysia Education Blueprint 2013-2025 - Executive Summary - English, klik di sini.

11 anjakan ubah sistem pendidikan

Babit semua jenis sekolah, jamin setiap rakyat dapat pelajaran terbaik

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak semalam melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan utama bagi mengubah sistem pendidikan negara. 

Perdana Menteri berkata, pelan pembangunan pendidikan itu akan memastikan setiap rakyat mendapat pendidikan terbaik bersandarkan keperluan semasa dan masa hadapan yang mencabar.

Melalui pelan itu katanya, kerajaan berharap rakyat terutama generasi muda mempunyai akses yang sama dalam bidang pendidikan berkualiti tanpa mengira status sosioekonomi, etnik, keupayaan fizikal atau latar belakang.


 Berani, telus, demokratik

Sambil menyifatkan pelan berkenaan sebagai komprehensif, berani, telus dan demokratik, beliau mahu setiap sasaran pelan itu dapat memberi kesan kepada semua jenis sekolah sama ada Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Agama, Sekolah Mubaligh, Sekolah Swasta dan Sekolah Antarabangsa yang berada dalam sistem pendidikan negara.




Katanya, kewujudan semua jenis sekolah itu mencerminkan legasi, kepelbagaian dan komitmen rakyat Malaysia terhadap pendidikan dan kepentingannya dalam kehidupan setiap rakyat Malaysia. 


“Kerajaan sentiasa menangani setiap isu pendidikan sebagai isu nasional yang melampaui politik dan sentimen kepartian. Ini bagi memastikan kita membuat keputusan semata-mata kepada kepentingan anak-anak dan bukannya bersifat populis.

“Matlamat kita agar setiap anak Malaysia tidak kira daripada mana dan kumpulan etnik mendapat manfaat sepenuhnya daripada dasar pendidikan yang dirancang ini,” katanya berucap melancar-kan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini semalam.


Kuasai bahasa kebangsaan

Perdana Menteri menegaskan selepas negara mengecapi kemerdekaan selama 55 tahun, setiap rakyat mesti sekurang-kurang bertutur dalam Bahasa Kebangsaan dengan baik.

“Kita hendak tegaskan di semua jenis sekolah, mesti menguasai bahasa kebangsaan kita, bertutur dengan baik. Ini bukan soal politik, ini soal nasional,” katanya.

Malah, beliau turut menekankan kepentingan bersikap pragmatik dengan menguasai tiga bahasa supaya berdaya saing, dengan tidak mensia-siakan kelebihan wujudnya berbilang kaum, bahasa dan budaya di negara ini.

Dalam transformasi pendidikan kali ini, Najib turut mencadangkan pelaksanaan Sastera Inggeris bagi membantu penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris, di mana Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan modul itu yang diwajibkan kepada murid sekolah menengah.

“Saya fikir kalau nak belajar bahasa Inggeris, kita mesti mengajar Sastera Inggeris di sekolah tetapi secara berperingkat. Jika tidak boleh Shakespeare, mula dengan Enid Blyton kemudian versi Shakespeare yang dipermudahkan dan akhirnya versi penuh. Sastera Inggeris amat penting,” katanya.
Berani berubah

Najib berkata, Kementerian Pelajaran mengambil sikap yang bertanggungjawab dengan mengakui kelemahan yang ada dan pada masa sama berani melaksanakan perubahan dan anjakan bagi merencana hala tuju lebih baik dalam pendidikan.

Pelan awal itu juga akan menjemput cadangan balas, kritikan komen dan sokongan bersesuaian dengan hakikat bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah berakhir.

“Rupa bentuk negara masa depan akan ditentukan oleh keputusan, langkah dan tindakan yang kita ambil hari ini. Kita tidak mampu menangguhkan atau berdikit demi masa depan lebih baik dan untuk mengaut laba masa hadapan kita perlu berani melabur serta menyemai secara bijak,” katanya.

PM lancar Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia

Kosmo Online; 11/09/2012 1:36pm


KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.

Laporan awal pelan itu yang memaparkan visi sistem pendidikan dan pelajar yang Malaysia perlu dan berhak miliki, memperincikan anjakan yang diperlukan untuk mencapai objektif tersebut.

Terdahulu laporan berkenaan dibentang Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.

Menurut dokumen itu, Kementerian Pelajaran berharap usaha tersebut akan memperjelaskan kepada masyarakat usaha mengubah sistem pendidikan negara dan akan mendapatkan maklum balas daripada komuniti mengenai laporan awal berkenaan sebelum pelan dimuktamadkan pada Disember ini.

Proses transformasi sistem pendidikan akan dilaksana dalam tempoh 13 tahun dengan Gelombang 1 (2012-2015) menumpukan kepada usaha memperbaiki sistem dengan memberi sokongan guru dan tumpuan kepada kemahiran asas; Gelombang 2 (2016-2020) pula mempercepatkan penambahbaikan sistem; dan Gelombang 3 (2021-2025) ke arah kecemerlangan menerusi operasi yang lebih fleksibel.

Pelan itu menyasarkan hasil pada lima aspek iaitu akses, kualiti, kesaksamaan, perpaduan dan kecekapan selain pembangunan pelajar yang memiliki enam sifat utama untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat global iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemKahiran diwbahasa, beretika dan beragama, serta beridentiti kebangsaan. — BERNAMA 

Usaha lahirkan generasi berkualiti

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan bagi memperkasa bidang pendidikan dan melahirkan generasi berkualiti.

Menurut beliau, melalui pelan itu, penekanan akan diberi kepada melengkapkan generasi muda dengan enam kualiti iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta memiliki identiti kebangsaan.

“Sebagai sebuah negara kita telah berjaya menangani masalah buta huruf diikuti dengan cara kita menangani era ekonomi berasaskan pertanian dan perindustrian.

“Bagaimanapun, ekonomi baharu pada masa akan datang memerlukan rakyat kita menguasai ilmu, teknologi dan inovasi. Justeru, kita perlu menyediakan anak-anak kita untuk pekerjaan yang belum wujud lagi pada hari ini,” katanya ketika melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran serta menteri-menteri Kabinet.

Laporan pelan pembangunan itu dihasilkan selepas Kementerian Pelajaran membentuk Panel Dialog Pendidikan Negara yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Wan Zahid Wan Noordin dan kemudian menerima sebanyak 7,039 syor daripada 12,000 peserta menerusi siri jelajah di seluruh negara.

Laporan itu kemudian dinilai oleh Panel Bebas Malaysia dan Antarabangsa, selain mendapat input daripada kajian yang dijalankan institusi pengajian tinggi tempatan, Bank Dunia serta Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Dalam pada itu, menurut Perdana Menteri, salah satu anjakan penting dalam pelan tersebut adalah memastikan penguasaan pelajar dalam bahasa Malaysia dan Inggeris serta bahasa ketiga.

“Setelah 55 tahun kita menyambut kemerdekaan, kita mesti pastikan setiap rakyat Malaysia boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan baik.

“Kalau tidak boleh tulis dengan baik sekurang-sekurangnya dari segi pertuturan, percakapan dan sebutan dengan baik dan ini kita mahu tegaskan dalam semua jenis sekolah dan ia bukan soal politik tetapi soal nasional,” katanya.

Beliau menjelaskan, keupayaan menguasai bahasa Inggeris merupakan satu keperluan dan boleh menjadi aset penting kepada seseorang pelajar.

“Saya fikir kalau belajar dalam bahasa tersebut kita mesti mengajar kesusasteraan Inggeris di sekolah tetapi ia mesti dilakukan secara berperingkat-peringkat,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau meminta supaya pelajar menguasai lebih banyak bahasa supaya dapat bersaing di peringkat global.

“Bukan setakat dua bahasa sahaja, kalau ada kemampuan ambil tiga bahasa.

“Saya sendiri galak anak saya belajar bahasa Mandarin sebab kita mahu persaingan dalam ekonomi global,” katanya.

Menurut beliau, melalui pelan transformasi pendidikan yang akan berlangsung selama 13 tahun itu, kerajaan mahu semua rakyat mendapat pendidikan terbaik dan merealisasikan potensi yang dimiliki tanpa mengira etnik, latar belakang dan keupayaan fizikal.

Najib berkata, untuk memastikan rakyat negara ini memiliki masa depan yang lebih baik, para pemimpin di semua peringkat perlu mempunyai keberanian untuk mengetepikan politik daripada bidang pendidikan.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita sentiasa menangani pendidikan sebagai isu yang melangkaui politik dan telah memperuntukkan jumlah bajet yang signifikan untuk pendidikan iaitu sebanyak RM37 bilion pada tahun 2012,” ujarnya.

Katanya, kerajaan mengambil sikap bertanggungjawab dengan berani mengakui kelemahan yang ada dalam sistem pendidikan dan kemudian berusaha merencana hala tuju yang lebih baik.

“Kita tidak mungkin menyelesaikan sebarang masalah jika kita dicengkam denial syndrome (sindrom penafian). Kita memerlukan penyelesaian yang kreatif dan inovatif,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Najib memberi jaminan bahawa pelan tersebut akan menyasarkan kepentingan semua sekolah dalam sistem pendidikan negara seperti sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, sekolah mubaligh, sekolah swasta dan sekolah antarabangsa.

sumber: KOSMO 

Tiga fasa pembangunan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Dilancarkan PM



PENYEDIAAN Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2012-2025 melibatkan tiga fasa yang diambil Kementerian Pelajaran dalam memastikan sistem pendidikan negara adalah konsisten, berkesan, dinamik serta memenuhi hasrat dan keperluan semua.

Menurut laporan awal pelan tersebut, fasa pertama yang diambil dalam penyediaan pelan itu adalah melibatkan kajian semula dan ujian menyeluruh tentang sistem pendidikan dengan membuat penilaian terperinci prestasi pendidikan selain memberi tumpuan terhadap keberhasilan murid.

Selain itu, tambah laporan berkenaan, fasa pertama turut mentaksir punca sebenar dan penggerak utama pencapaian tahap prestasi masa kini selain mengenal pasti kecemerlangan yang terdapat dalam sistem pendidikan sebagai model untuk dicontohi.

''Keberhasilan murid, penggerak utama, contoh kecemerlangan, kerja lapangan dan temu bual bersemuka, perbincangan berkumpulan dan bengkel merupakan antara kaedah yang digunakan pada fasa pertama penyediaan pelan tersebut.

''Hasil daripada kajian ini akan disahkan melalui proses penyemakan data (triangulasi) dengan beberapa sumber bebas seperti Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Bank Dunia selain semua hasil tersebut dinilai secara kritikal oleh satu Jawatankuasa Khas yang terdiri daripada kumpulan pemimpin kanan kementerian," kata laporan itu.

Tambah laporan tersebut, bagi fasa kedua penyediaannya, pelan itu memberi tumpuan kepada penyediaan laporan awal dengan menggunakan input yang diperolehi dalam fasa pertama bagi mengenal pasti bidang keutamaan.
Katanya, fasa kedua turut memperincikan program transformasi yang komprehensif mengenai dasar dan inisiatif yang akan dilaksanakan bagi tempoh 13 tahun akan datang iaitu antara tahun 2013 hingga 2025.

''Fasa ini merangkumi Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) yang dijalankan pada April hingga Julai tahun ini dalam mendapatkan maklum balas dari orang awam. Selain itu penyediaan Makmal Pendidikan GTP 2.0 yang bakal dilaksanakan dari tahun 2013 hingga 2015 akan menjadi sebahagian daripada pembaharuan Gelombang 1 pelan tersebut meliputi seluruh tempoh 2013 hingga 2025.

''Kementerian Pelajaran kemudian akan mengkaji semua cadangan daripada DNPN dan Makmal Pendidikan GTP 2.0 itu dengan teliti," menurut laporan itu lagi.

Laporan awal itu menambah bahawa fasa ketiga penyediaan pelan tersebut akan memberi tumpuan untuk menyiapkan Pelan Pembangunan Pendidikan dengan melibatkan rundingan serta penglibatan dengan guru, ibu bapa, murid dan pihak berkepentingan yang lain bagi mendapatkan maklum balas mengenai laporan awal pelan berkenaan.

Katanya, rundingan awam secara meluas dan segala maklum balas itu akan disatukan pada penyerahan laporan akhir pelan berkenaan pertengahan Disember tahun ini.

Sumber; Utusan Malaysia

MELANGKAH era baru penuh cabaran, sektor pendidikan negara juga bergerak seiring bagi menjadikannya lebih proaktif, dinamik, profesional serta menepati standard global.
Apatah lagi dengan pelbagai sasaran ditetapkan bagi melahirkan pelajar dan institusi yang bukan saja cemerlang akademik malah memenuhi kriteria prestasi tinggi, menjadikan sektor pendidikan negara perlu berdepan perubahan besar.
Pengenalan Kajian Semula Pendidikan juga satu cara sektor pendidikan negara melonjakkan lagi tahap sedia ada ke satu peringkat boleh dibanggakan.

Justeru, apakah jangkaan terhadap sektor pendidikan negara apabila pengenalan ini dilaksanakan dalam tempoh sasaran?

Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga ahli panel Dialog Nasional Pendidikan Negara, Profesor Dr Teo Kok Seong berkata, menerusi Kajian Semula Pendidikan, dunia pendidikan negara dijangka melonjakkan lagi profesionalisme serta pencapaian dalam dua aspek utama iaitu perkembangan kecendekiawanan serta pembangunan insaniah pelajar.

Beliau berkata, dua aspek itu nadi terhadap kecemerlangan pelajar, sekali gus melahirkan bangsa yang mempunyai jati diri kukuh.

“Ini adalah masa paling tepat bagi melakukan perubahan kerana pelajar kita akan berdepan persaingan global serta transformasi alaf baru dunia pendidikan yang serba pantas.

“Penekanan terhadap dua aspek itu antara paling utama sebagai usaha melahirkan pelajar yang mampu berfikir secara global, berakhlak baik serta bertanggungjawab.

“Dalam tempoh sasaran ditetapkan selama 15 tahun, diharap negara mampu melahirkan pelajar yang mempunyai daya saing tinggi supaya boleh bersaing di persada dunia antarabangsa,” katanya.

Sistem pendidikan negara juga, katanya, mampu berdiri setanding negara maju seperti Finland, sekali gus meningkatkan lagi kualiti pendidikan sedia ada ke tahap terbaik.

“Pelbagai aspek akan diperbaiki dari semasa ke semasa bagi mempertingkatkan lagi kualiti pendidikan sedia ada. Ini membantu melonjak keupayaan negara untuk setanding negara maju dalam sektor pendidikan,” katanya.

Kajian Semula Pendidikan yang akan dilancarkan esok antara mekanisme serta transformasi kerajaan bagi melonjakkan lagi pencapaian sektor pendidikan negara ke tahap paling membanggakan.

Ini juga bagi menjadikan sektor berkenaan berdaya saing dengan pelbagai visi dan aspirasi baru bagi menjadikan sistem pendidikan lebih kompetitif dan mencapai standard global.

Antara objektif Kajian Semula Pendidikan adalah untuk memahami isu dan cabaran, menjelaskan visi dan aspirasi baru untuk sistem pendidikan negara pada masa depan juga mencetuskan transformasi bagi meningkatkan standard serta merapatkan jurang pencapaian.

Pelan ini adalah inklusif dan kolektif merangkumi suara rakyat dengan 156 memorandum, 20 meja bulat, 16 dewan terbuka, 14 negeri dan lima forum murid selain syor daripada 7,757 guru, 2,117 ahli persatuan ibu bapa dan guru dan 1,853 orang awam.

Dijangkakan menerusi kajian semula itu, sistem pendidikan negara akan berupaya melonjakkan lagi prestasi pencapaian sedia ada menjelang tempoh sasaran pada 2025 dengan keupayaan melahirkan melahirkan pelajar berkapasiti pendidikan dengan nilai pengalaman selain merapatkan pencapaian jurang yang wujud masa kini.

Diharapkan menjelang tempoh itu, setiap pelajar akan mempunyai kemampuan untuk melaksanakan pelbagai kemahiran seperti kepemimpinan, berpengetahuan, beridentiti nasional juga menguasai bahasa.

Malah, profesionalisme guru juga diharap mampu dilonjakkan ke tahap optimum menerusi pelaksanaan suntikan pakej baru dalam kerjaya berkenaan manakala bagi institusi sekolah dapat menganjak pencapaian sedia ada ke tahap lebih baik dengan kadar segera.

Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin yang juga ahli panel Dialog Nasional Pendidikan Negara (Panel Bebas) juga berpendapat, usaha penambahbaikan yang dilakukan menerusi Kajian Semula Pendidikan itu tepat pada masanya demi kegemilangan dunia pendidikan negara pada masa depan.

“Penambahbaikan ini demi kebaikan bersama terutama dalam mentransformasikan sistem pendidikan negara ke tahap global.

“Ia dilaksanakan dengan sokongan pendapat semua dan manfaatnya juga akan dapat dinikmati dengan menyeluruh,” katanya.
Artikel ini disiarkan di Harian Metro pada : 2012/09/09



0 comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .