Welcome to My

Blog

Thursday, September 06, 2012

Petua 4 pelajar OKU Cemerlang


Petua 4 pelajar OKU Cemerlang



Mohd.Rifaat Hussin menerima ucapan tahniah dari Pengetua SMK St.John, En.Lim Hean Hua. sumber gambar ini dari Web Blog SMK St. John's Institution, DI SINI.

TUMPUAN sepenuhnya kepada pengajaran guru di dalam kelas dan rajin bertanya adalah resipi kejayaan penerima Anugerah Pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) Cacat Penglihatan Cemerlang kategori Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Mohd Rifaat Husin.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan St John Bukit Nanas, Kuala Lumpur itu, berkata tumpuan di dalam kelas dan rajin bertanya sememangnya bukan kemahiran luar biasa, namun jika benar-benar dipraktikkan pasti membuahkan hasil.



Mohd Rifaat yang mendapat 4A 1B dalam STPM tahun lalu berkata, walaupun cacat penglihatan sejak empat tahun lalu, dia bersungguh-sungguh mahu memperoleh keputusan cemerlang dalam akademik terutama selepas mencatat keputusan yang kurang memuaskan hatinya ketika Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya hanya mendapat 4A ketika SPM, jadi saya ingin lebih cemerlang untuk STPM. Justeru, saya belajar bersungguh-sungguh sambil dibantu oleh guru dan rakan lain yang banyak memberi tunjuk ajar di bilik pusat sumber selepas kelas.

“Diharap rakan lain yang senasib dengan saya tidak mudah berputus asa dalam menjalani pembelajaran jika ingin berjaya dalam akademik,” katanya pada majlis Penyampaian Anugerah Pelajar OKU Cacat Penglihatan Cemerlang 2010 anjuran Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Presiden SBM, Mohammed Nazari Othman; Naib Presiden SBM, Jamilah Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Modal Insan SBM, Mohamed Zaki Ismail.

Selain Mohd Rifaat, empat pelajar lain turut menerima anugerah masing-masing ialah Jason Tan Kah Suan yang mendapat 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia; Nor Amirah Azali yang meraih 6A 1B 1C untuk Penilaian Menengah Rendah dan Nor Amirah Azali (5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah).

Semua penerima anugerah membawa pulang sijil penghargaan serta wang tunai bernilai antara RM200 hingga RM500 mengikut kategori.

Pada majlis sama, Mohammed Nazari turut menutup rasmi Kursus Anjakan Paradigma dan Pengenalan Teknologi Terkini Pekerja OKU Cacat Penglihatan Kebangsaan 2011 yang dihadiri 72 ahli SBM dari seluruh negara.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memberi sokongan dalam bentuk program latihan kepada golongan OKU cacat penglihatan terutama kepada ahli SBM yang bekerja kerana mereka perlu mempersiapkan diri dengan kemahiran penggunaan teknologi maklumat selari dengan keperluan semasa.

Beliau berkata, walaupun bergelar OKU cacat penglihatan, semua ahli SBM perlu membuktikan kebolehan masing-masing dalam pekerjaan sama ada dalam sektor kerajaan mahupun swasta.

“Dengan latihan teknologi terkini iaitu komputer bersuara, golongan OKU cacat penglihatan akan mampu menjalankan kerja sama seperti orang lain terutama dalam bidang penyelidikan, khidmat pelanggan dan sumber manusia.

“Diharap dengan program latihan yang dianjurkan, semua ahli SBM akan lebih berkeyakinan untuk membuktikan kemahiran mereka kepada majikan seterusnya menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya.

Sumber; Berita Harian

0 comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .