Welcome to My

Blog

Wednesday, January 09, 2013

SEKOLAH PERTUKANGAN PERANTIS TENTERA DARAT (SPPTD)

INFO SEKOLAH PERTUKANGAN PERANTIS TENTERA DARAT (SPPTD)



Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Artikel saya sebelum ini berkaitan SEKOLAH PERTUKANGAN PERANTIS TENTERA DARAT (SPPTD) telah diserang hackers. Saya harap artikel di blog ini, tidaklah diserang. Ini kerana blog ini diwujudkan bukanlah berorientasikan keuntungan tetapi sebagai kemudahan untuk saya dan pelajar-pelajar saya membuat rujukan.

Kepada lepasan PMR, antara halatuju kerjaya dan cita-cita anda ialah, anda boleh melanjutkan pelajaran di SEKOLAH PERTUKANGAN PERANTIS TENTERA DARAT (SPPTD).

 Pelajar-pelajar LELAKI lepasan PMR untuk melanjutkan pelajaran di dalam bidang vokasional selama 2 tahun di Sekolah Pertukangan Perantis Tentera Darat (SPPTD), Port Dickson, Negeri Sembilan. Sebuah sekolah berasrama penuh, lengkap dengan semua kemudahan yang disediakan secara percuma. Anda juga akan diberikan elaun bulanan dan setelah tamat pengajian, anda akan diberikan pekarjaan yang tetap dalam Angkatan Tentera Malaysia.  


 Berikut ialah info pengambilan Perantis  pada tahun 2009 yang lalu, yang boleh kita ambil sebagai panduan:

PERMOHONAN KE SEKOLAH PERTUKANGAN PERANTIS TENTERA DARAT (SPPTD)



Tentera Darat Malaysia mempelawa pelajar-pelajar lelaki lepasan PMR untuk melanjutkan pelajaran di dalam bidang Vokasional selama 2 tahun di Sekolah Pertukangan Perantis Putera Tentera Darat, Port Dickson, Negeri Sembilan. Sebuah sekolah berasrama penuh lengkap dengan semua kemudahan yang disediakan secara percuma. Anda juga akan diberi elaun
bulanan dan setelah tamat pengajian, anda akan terus diberikan perkerjaan yang tetap. Masa depan anda adalah terjamin di sini.

SYARAT-SYARAT KELAYAKAN:

Umur:Telah berumur sekurang-kurangnya 15 Tahun 6 bulan tetapi tidak melebihi 17 tahun 6 bulan pada 11 Mac 2009

Kesihatan:
a. Sihat tubuh badan dan tidak cacat anggota.
b. Daya penglihatan mestilah terang tanpa memakai cermin mata atau kaca sesentuh.
c. Tidak rabun warna atau jauh/dekat.

Fizikal:
a. Tinggi : 152 sm
b. Berat : 40.5 kg
c. Indeks Jisim Badan : (BMI) – 18 hingga 26.9
d. Ukuran Dada : Biasa 74 sm dan Tarik Nafas 79 sm

Akademik:
Memiliki Sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan sekurang-kurangnya memperolehi 2B
(Matematik dan Sains) dan 3C (Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan salah satu mata
pelajaran yang lain) serta tidak mendapat E dalam mana-mana mata pelajaran lain.

Status Perkahwinan:
Bujang

Syarat Tambahan:a. Telah mendapat kebenaran secara bertulis daripada ibubapa atau penjaga untuk memasuki
perkhidmatan putera.
b. Bersetuju menandatangani satu surat perjanjian untuk menjadi anggota Angkatan Tentera
Malaysia apabila genap umur 18 tahun.

ELAUN DAN GAJI BULANAN
Elaun Bulanan: RM 110.00
Elaun Pakaian: RM 200.00 (sekali sepanjang tempoh pengajian)
18 Tahun ke atas: Berhak mendapat gaji dan elaun sebagai seorang anggota tetap di dalam Tentera Darat Malaysia

KEMUDAHAN DAN KEISTIMEWAAN:
a. Asrama dan sajian pengajian disediakan secara percuma.
b. Buku teks dan alat tulis disediakan secara percuma.
c. Tidak perlu membayar yuran Peperiksaan SPMV.
d. Perjalanan untuk bercuti semester (pergi/ balik) ditanggung sepenuhnya.
c. Peluang untuk melanjutkan pengajian ke IPTA dengan percuma.
f. Kemudahan pakaian seragam secara percuma.
g. Kemudahan untuk bersukan.

SIJIL DAN DOKUMENT:
Calon-calon yang berminat dijemput hadir ke Pusat-Pusat Pemilihan yang telah ditetapkan selewat-lewatnya pada jam 0830 pagi dengan berpakaian seragam sekolah serta membawa bersama Sijil/ Dokumen Asal dan Fotostat (satu salinan) seperti berikut:

a. Kad Pengenalan Malaysia (MyKad). Bagi pemegang Kad Pengenalan
Sementara (JPN 9) kemasukan ke dalam ATM adalah ditangguhkan
sehingga Kad Pengenalan Malaysia (MyKad) diperolehi.
b. Sijil Daftar Kelahiran.
c. Sijil Akademik atau Slip Keputusan Peperiksaan.
d. Sijil Berhenti Sekolah (Jika Ada).
e. Salinan Fotostat MyKad dan Sijil Lahir Ibubapa.
f. Calon-calon dikehendaki membawa bersama sampul surat berukuran 4x9 inci bersetem 50 sen dan beralamat sendiri.


PERTANYAAN:
Sel Pengambilan Perajurit Tentera Darat,
Cawangan Sumber Manusia,
Markas Tentera Darat, Kementerian Pertahanan,
d/a Tingkat 14, Bangunan KUB,
COM Jalan Yap Kwan Seng, 50450 KUALA LUMPUR,
Tel: 03-21753000 Sambungan 3176

ATAU
Layari Laman Web Tentera Darat di http://army.mod.gov.my

Tim Pemilihan Perajurit Muda TD
Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia
Jalan Tun Ahmad Zaidie Adruce
93640 KUCHING
Sarawak
Tel: 082-243106 Sambungan 242



SEJARAH DAN LATAR BELAKANG
 Dipetik dari blog Kapten Nizam

SPPTD (AFATS)

Piagam Afats:

Untuk memberi peluang kepada pemuda-pemuda Malaysia menjalani kursus-kursus selama tiga tahun/dua tahun di dalam ketenteraan,teknikal dan akademik supaya mereka layak untuk berkhidmat didalam perkhidmatan teknikal Angkatan Tentera.



Sejarah Penubuhan Afats:

 
Sekolah Pertukangan Perantis Angkatan Tentera (SPPAT) telah ditubuhkan pada 1 April 1968 di bawah kelulusan Majlis Angkatan tentera. Sekolah ini telah dirasmikan oleh Panglima Tentera Darat iaitu Jen Tan Sri Abdul Hamid bin Bidin pada 9 November 1968, bertempat di Kem Si Rusa, Port Dickson, Negeri Sembilan.



Pengambilan pertama terdiri daripada 60 orang perantis putera telah berjaya menamatkan latihan selama 3 tahun pada 3 April 1971. Kumpulan pertama ini telah diagihkan kepada ketiga-tiga perkhidmatan iaitu Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara. 


Mulai pengambilan ke 11, setiap perintis putera hanya perlu mengikuti kursus selama 2 tahun dan mereka ini dikenali sebagai ‘Perantis Putera Kategori A’.


Pada awal tahun 1982, sekolah ini dipindahkan ke Kem Segenting, Batu 10, Port Dickson.

 Pada 12 Ogos 1988 nama sekolah telah ditukar kepada Sekolah Pertukangan Perantis Tentera Darat (SPPTD) dan hanya melatih para perantis untuk perkhidmatan Tentera Darat khususnya Kor Jurutera Letrik dan Jentera DiRaja. Pada tahun 1992, SPPTD telah berpindah sekali semula ke tempat asalnya di Kem Si Rusa dan berada di bawah pentadbiran dan pengurusan Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED).


COGAN KATA

 
Cogan kata ” BELAJAR UNTUK BERKHIDMAT ” bertujuan untuk mewujudkan bakal tentera yang berketerampilan dalam bidang akademik, ketenteraan, teknikal serta sedia berkhidmat didalam pasukan teknikal Tentera Darat.


MATLAMAT SEORANG PERANTIS

Setiap perantis putera dididik menjadi seorang yang berdisplin, berdedikasi, mempunyai komitmen dan daya tahan serta semangat yang padu dalam segala lapangan yang diceburi.


 Oleh yang demikian ia perlu memenuhi matlamat berikut,

:: Kejayaan akademik dan vokasional yang cemerlang
:: Kejayaan menamatkan latihan ketenteraan
:: Kejayaan dalam aktiviti ko-kurikulum
:: Displin yang baik
:: Akhlak yang mulia






Artikel SPPTD Di Utusan Malaysia, 2008


SPPTD melentur buluh


SEBUAH sekolah bestari yang mungkin kurang diketahui umum khususnya masyarakat awam ialah Sekolah Pertukangan Perantis Tentera Darat (SPPTD) yang terletak di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Idea menjadikan sekolah ini sebagai sebuah Sekolah Bestari adalah inisiatif daripada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak susulan aplikasi perdana Projek Smart School pada Jun 2001.
Pentauliahan penuh SPPTD sebagai Sekolah Bestari adalah pada 2005, iaitu serupa dengan Maktab Tentera Diraja (MTD) di Kuala Lumpur.
Sungguhpun kurang popular di kalangan orang awam, sekolah ini telah tertubuh pada 1 April 1960 dengan pengambilan 60 perantis hasil idea Allahyarham Tun Abdul Razak yang merupakan Menteri Pertahanan ketika itu.
Pada waktu ini, para perantis yang belajar di SPPTD hanya dikhususkan kepada perkhidmatan darat semata-mata, dan mereka boleh mula memasuki SPPTD bermula di tingkatan empat.
Syarat minimum kemasukan ke SPPTD ialah mendapat dua B dan tiga C pada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah.
‘Produk-produk’ SPPTD ini pula merupakan mereka yang kebanyakannya akan memasuki perkhidmatan Tentera Darat (TD) dalam Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja (KJLJD) sebagai juruteknik.
Antara tugas utama mereka dalam KJLJD adalah menyelenggara dan mengawal selia aset-aset TD seperti Kenderaan Jenis A (kenderaan berat seperti kereta kebal) dan B (kenderaan ringan seperti van dan lori).
Perantis-perantis ini penting kerana kepakaran yang mereka pelajari di SPPTD dalam menyelenggara Kenderaan A biasanya tidak diajar di sekolah-sekolah biasa ataupun kolej-kolej awam dan swasta.
Ini bermakna tanpa mereka, bilangan juruteknik yang berkemahiran menyelenggara kereta kebal dan kenderaan berat lain di negara ini khususnya milik TD berkurangan ataupun hampir tiada.
Tetapi sebelum diserapkan ke dalam perkhidmatan, perantis-perantis ini perlu menjalani kursus di Institut Kejuruteraan Tentera Darat (Ijed), yang juga terletak di Port Dickson.
Bila memasuki Ijed nanti, status mereka bertukar daripada perantis kepada rekrut menandakan mereka telah diserapkan ke dalam perkhidmatan TD.
Ketua Bahagian SPPTD, Mejar Mohd. Fikiray Omar berkata, demi memastikan perantis-perantis ini mendapat kemahiran sewajarnya, silibus pelajaran di sini adalah hampir serupa dengan yang diajar di sekolah menengah vokasional ataupun teknik.
Mohd. Fikiray yang berperanan seperti pengetua bertanggungjawab menguruskan tenaga pengajar dan pentadbiran sekolah berkenaan.
Menurut beliau, cabarannya di SPPTD berkenaan disiplin perantis adalah sangat kurang memandangkan para pelajar di situ sudah bersedia menjadi seorang anggota tentera.
‘‘Sewaktu mereka mula-mula masuk dulu lagi mereka sudah mengetahui bahawa masa depan mereka adalah bersama tentera.
‘‘Jadi saya dapati mereka telah pun menukar gaya hidup sebagai seorang pelajar awam kepada pelajar tentera sebaik sahaja melangkah ke sekolah ini,” katanya ketika ditemui MEGA baru-baru ini.
Beliau menggariskan kekurangan fasiliti dan syarat kemasukan perantis dari segi umur kemasukan, kuota dan tarikh kemasukan sebagai cabaran utamanya ketika ini.
Menurut syarat yang ditetapkan, perantis yang diterima masuk ke SPPTD haruslah berusia 16 tahun pada bulan April sesuatu tahun, jadi bagi mereka yang lahir pada bulan Mei, mereka tidak layak ataupun perlu menunggu sehingga tahun depan.
Ini bermakna, mereka yang berminat memasuki SPPTD tetapi lahir selepas April perlu menunggu setahun seperti di kelas peralihan. Sepanjang setahun itu, mereka mungkin hilang minat dan meneruskan pelajaran di sekolah biasa seperti sebelumnya.
Pegawai Pendidikan Kanan SPPTD, Leftenan Kolonel Nurfadilah Kim Abdullah pula memberitahu, satu lagi keunikan sekolah itu ialah ia tidak bernaung di bawah Kementerian Pelajaran seperti sekolah-sekolah lain.
Malahan menurut Nurfadilah yang berperanan seperti Penolong Kanan (Akademik) di sekolah biasa, Kementerian Pelajaran mengklasifikasikan SPPTD sebagai sekolah swasta.
‘‘Sebenarnya kami bernaung di bawah Kementerian Pertahanan dan kesemua tenaga pengajar di sini adalah pegawai dan anggota tentera dari kementerian itu,’’ ujarnya.
Pada waktu ini katanya, SPPTD mempunyai 19 pegawai yang mengajar subjek-subjek akademik manakala 29 lagi jurulatih lain-lain pangkat pula ‘menurunkan ilmu’ mereka kepada para perantis di bengkel-bengkel membaiki kereta.
‘‘Bagaimanapun, SPPTD merupakan tempat terbaik bagi mereka yang minat memasuki perkhidmatan tentera serta bidang permotoran dan kejuruteraan,’’ jelasnya.
Sewaktu penulis melawat sekeliling premis SPPTD baru-baru ini, beberapa perantis pelbagai kaum yang ditemui kelihatan mesra dan gembira belajar di sana.
Perantis Patrick Ngau, 17, memberitahu, dia menyukai SPPTD kerana perbezaan tahap disiplin yang ketara antara sekolah harian biasa dengan sekolahnya sekarang.
‘‘Di sini semuanya (pelajar) berdisiplin tinggi kerana diawasi oleh para pegawai dan anggota tentera,’’ jelasnya.
Pelajar yang berbangsa Kenyah dari Sarawak itu mengetahui mengenai SPPTD melalui iklan tawaran menjadi perantis di akhbar beberapa tahun lalu.
Bagi perantis Wan Mohd. Akhmal Wan Ahmad, 17, pula, sungguhpun SPPTD tidak menjamin beliau untuk menjadi pegawai tentera pada masa hadapan, namun dia tetap memasang niat untuk memakai pangkat leftenan muda ke atas, suatu hari nanti.
Dia yang berasal dari Bera, Pahang memilih untuk belajar di sana kerana percaya belajar cara tentera boleh membantunya mengental serta menguatkan fizikalnya.
Sementara itu, Tharma Rao Rasengeran, 17, berkata, dia berminat untuk belajar di SPPTD kerana kemudahan pembelajaran yang lengkap terdapat di sini terutama berkaitan enjin kenderaan dan permotoran.
Pelajar dari Johor Bharu, Johor itu mengakui tidak langsung mempunyai masalah untuk bergaul dengan pelajar Melayu di sekolah itu yang merupakan golongan majoriti di sana.
‘‘Saya sudah biasa dengan pelajar-pelajar Melayu sejak di Johor lagi, lagipun kemesraan antara kaum di Malaysia memang telah terserlah sejak dahulu lagi,’’ jelasnya.
Mohammad Faiez Abu Bakar, 17, pula mengakui minatnya yang mendalam mengenai dunia permotoran dan automotif telah mendorongnya untuk belajar di SPPTD.
‘‘Saya mahu belajar betul-betul mengenai selok-belok enjin kenderaan supaya pada masa hadapan, saya berupaya membaiki kenderaan milik sendiri seperti motor atau kereta,’’ kata pelajar dari Selangor ini.
Antara faedah yang dinikmati oleh para perantis di sini ialah elaun RM110 daripada mula masuk iaitu di tingkatan empat (16 tahun) sehingga berusia 18 tahun.
Buat masa ini, SPPTD sedang mengendalikan 520 orang pelajar yang menuntut di tingkatan empat dan lima.
Daripada jumlah itu, 246 orang akan menamatkan latihan mereka pada 12 april selepas mengharungi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) pada November lalu.
Walaupun tiada jaminan bagi para perantis ini untuk bergelar pegawai dalam perkhidmatan tentera nanti, Fikiray menegaskan ianya tidak mustahil asalkan mereka mampu menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik.


Tambahnya, ini terbukti dengan ramainya pegawai tertinggi TD yang berkhidmat dalam KJLJD merupakan bekas pelajar SPPTD.

Pencapaian akademik SPPTD menunjukkan sekolah tersebut tidak hanya mementingkan kepada latihan amali semata-mata.

SPPTD mencatatkan kelulusan 100 peratus sebanyak lima kali dalam peperiksaan SPMV sepanjang tempoh tujuh tahun sebelum ini.

sumber; di sini

6 comments:

Anonymous said...

xde pon ikaln kat akhbar 12,13 jan. Temuduga tuh konpem ke 16,17,18 hb?

Pemberi Maklumat said...

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera. Dimaklumkan pemilihan awal bagi pengambilan tahun 2013 Sekolah Pertukangan Perantis Tentera Darat ditangguhkan sementara waktu dan tarikh sebenar akan dimaklumkan melalui surat khabar utama atau laman web http://army.mod.gov.my/ untuk maklumat yang lebih sahih. Mohon Tuan/Puan abaikan tarikh-tarikh yang telah dikhabarkan kerana ia bukan dari sumber yang mempunyai maklumat sah. Mohon rujuk kepada laman web Tentera Darat yang telah disediakan bagi mengelakkan berlakunya salah faham. Terima kasih.

Cikgu Kaunseling Ma said...

waalaikumussalam dan selamat sejahtera
terima aksih kepada Pemberi maklumat atas informasi tuan/puan.sangat saya hargai.

fikri izuan said...

salam sejahtera , saya ingin bertanyakan tentang tarikh temuduga SPPTD yang telah tertangguh . bilakah ia akan di keluarkan dan di iklankan ? info ini amat penting bagi saya . respon pihat puan amat saya hargai . terima kasih .

Anonymous said...

Utk 2014 bila dibuka pengambilan dan adakah pengambilan tbuka

Anonymous said...

bila nak buka permohonan untuk 2014 (perantis)

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .