Welcome to My

Blog

Thursday, April 25, 2013

Nabil Lutfi Pelajar OKU Autisme Cemerlang 9A SPM

 Nabil Lutfi Pelajar OKU Autisme Cemerlang 9A SPM

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Walaupun keputusan SPM telah berlalu, saya hanya baru malam ni berkesempatan memuatnaik di sini artikel kajayaan Anak Autisme ini. Artikel ini saya simpan di blog ini sebagai kemudahan untuk buat rujukan online. Subhanallah. Allah tetap berikan kebaikan kepada setiap ujian yang diberikan Allah kepada hamba-hambaNya. 

  Keputusan cemerlang itu menjadikan Nabil Lutfi, 18, pelajar cemerlang SPM kategori orang kurang upaya (OKU) di negeri ini.

Pelajar austisme SMK Abdul Rahman Talib dapat 9A

KUANTAN 21 Mac - Kecacatan bukan penghalang untuk berjaya dalam pelajaran menjadi pegangan seorang pelajar austisme di sini yang mencatat keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.
 
Bagi Nabil Lutfi, 18, walaupun lambat untuk memahami sesuatu perkara, kekurangan itu tidak menjadi penghalang buatnya untuk bersaing dengan rakan-rakan normal yang lain.

Malah, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib dekat sini mampu membuat ibu bapanya tersenyum dengan keputusan peperiksaan yang diterima.


Lebih membanggakan, anak kepada pasangan doktor itu memperoleh keputusan A+ untuk empat subjek iaitu Matematik, Matematik Tambahan, Fizik dan Bahasa Inggeris manakala Bahasa Melayu (A-), Pendidikan Islam (A-), Sejarah (A), Kimia (A-) dan Biologi (A-).
Bercita-cita menjadi jurutera perisian, anak bongsu daripada dua beradik ini merancang untuk melanjutkan pelajarannya di Universiti Multimedia (MMU) dalam bidang itu.


Menurutnya, dia gembira kerana berjaya memperoleh keputusan cemerlang biarpun tidak normal seperti rakan-rakan lain.


"Usaha bersungguh-sungguh serta percaya pada diri sendiri itulah kunci kejayaan saya. Saya juga mengulang kaji pelajaran di rumah sepanjang petang sehingga malam.

"Tetapi mak dan ayah saya yang menjadi pendorong. Mak cakap belajar bersungguh-sungguh dan saya jadikan itu sebagai motivasi," katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu, bapanya, Lutfi Ahmad Yassin berkata, keputusan yang diterima cukup menggembirakan dan tidak menyangka anaknya mampu memperoleh keputusan yang cemerlang.
"Nabil memang ada masalah dalam pembelajaran. Kalau buat kerja akan mengambil masa, memang mencabar bagi saya dan isteri.
"Bagaimanapun saya dan isteri bersyukur kerana Nabil mendapat keputusan yang baik. Kalau tak baik pun kita terima dengan seadanya," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Ulang kaji 3 jam sehari




Keputusan cemerlang itu menjadikan Nabil Lutfi, 18, pelajar cemerlang SPM kategori orang kurang upaya (OKU) di negeri ini.
Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, di sini, kejayaan itu bukan datang dengan mudah, namun hasil kerja keras serta sokongan ibu bapa dan guru yang tidak pernah jemu membantu terutama dalam pelajaran.


“Saya bersyukur kepada Allah apabila akhirnya berjaya memperoleh 9A di dalam SPM walaupun mempunyai masalah pembelajaran kerana disahkan mengalami High Functioning Autisme (HFA), sejak berusia 12 tahun. “Biarpun agak lambat untuk menerima pelajaran di dalam kelas, ketekunan mengulang kaji pelajaran di rumah banyak membantu kejayaan ini,” katanya ketika ditemui semalam.


Katanya, di rumah dia menghabiskan masa kira-kira tiga jam sehari bagi mengulangkaji pelajaran sambil dibantu ibu bapanya yang juga pasangan doktor.


“Antara kelemahan yang saya hadapi adalah gagal mentafsirkan semula apa yang diajar guru serta lambat menulis terutamanya ketika membuat karangan.


“Ibu dan bapa banyak berinteraksi dengan saya supaya minda lebih terangsang untuk bertindak balas dengan apa yang saya fahami,” katanya.


Harian Metro

0 comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .